MAC 2023

Sukma 2024, 32 Acara Dipertandingkan


KUCHING: Sebanyak 32 acara dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak tahun depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini kerana  32 acara sukan akan dipertandingkan dalam temasya itu merupakan keputusan Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya, keputusan terbabit juga dibuat bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, semua exco sukan dan belia negeri termasuk juga dua menteri berkaitan belia dan sukan dari Sarawak dan Sabah.

"Semua kami sudah bermuafakat, saya tidak fikir kami akan membuka (SUKMA2024) kepada lebih banyak lagi (acara),"katanya ketika sidang media Persidangan Persatuan Pengurusan Sukan Asian (AASM 2023) di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ramai netizen dalam sosial media mendesak lebih banyak acara sukan ditambah dalam temasya itu termasuk acara kabaddi. 

"Bagi SUKMA 2024 ini,  bukan sahaja kabaddi malah kanu juga tidak ada dipertandingkan," tambahnya.

Sementara itu, Karim juga mengumumkan Sarawak telah memenangi bidaan menjadi tuan rumah Persidangan Persatuan Pengurusan Sukan Asian 2023 berdasarkan keputusan Majlis Eksekutif bagi Persatuan Pengurusan Sukan Asian di Taipei baharu-baharu ini.

Katanya, persidangan terbabit yang dijangka dihadiri 500 peserta dan juga delegasi dari lebih 25 negara akan diadakan di Imperial Hotel Kuching mulai 19 hingga 20 Ogos depan.

Sumber dari : Jiwa Bakti